Sabtu, 17 Oktober 2009

Tarbiah kanak-kanak dengan lemah lembut

Oleh Mohd Roslan Abdul Ghani

Sifat rahmat adalah perasaan belas kasihan terhadap sesama makhluk. Rahmat bukan kepada manusia saja bahkan perlu dilaksanakan kepada haiwan dan alam. Sebelum Allah memerintahkan manusia supaya bersifat rahmat, Allah terlebih dulu bersifat rahmat.

Firman Allah yang bermaksud: “Dia menetapkan atas dirinya memberi rahmat.” (Surah Al-An’am, ayat 12)

Allah menegaskan, untuk mendapat rahmat Allah, seseorang itu hendaklah bertakwa seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10).

Selepas Allah sendiri bersifat rahmat, Nabi Muhammad SAW menegaskan orang yang tidak merahmati kanak-kanak, bukan daripada golongan kami dan orang yang paling meraikan kanak-kanak ialah Nabi Muhammad SAW.

Daripada Anas Ibnu Malik pernah berkata, aku tidak pernah melihat orang yang paling merahmati kanak-kanak melebihi Rasulullah SAW. Rasulullah SAW juga merahmati kanak-kanak dan memerhati keadaan mereka walaupun ketika Nabi sedang menunaikan sembahyang.

Daripada Syaddad Ibnu Al Had, Nabi Muhammad keluar untuk berjumpa dengan kami kerana hendak menunaikan solat Maghrib atau Isyak, Nabi Muhammad ketika itu mendukung cucunda baginda sama ada Hassan atau Husain, Nabi pun ke depan kerana hendak mengimamkan kami, maka Baginda meletakkan cucunda di depan kemudian Baginda bertakbir untuk memulakan sembahyang. Dalam sembahyang, ketika salah satu sujud Rasulullah memanjangkan sujud. Tatkala selesai sembahyang, ada sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau memanjangkan sujud engkau sehingga kami menyangka sudah berlaku sesuatu perkara ke atas engkau, atau kami sangka wahyu turun, maka berkatalah Nabi Muhammad SAW: Semuanya itu tidak berlaku, akan tetapi sebenarnya cucunda aku bermain di atas belakangku ketika aku sujud, maka aku tidak sampai hati untuk bangun dari sujudku melainkan selepas dia selesai.

Pada kejadian lain, Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah, kemudian Nabi turun kerana rahmatnya Baginda kepada kanak-kanak. Daripada Buraidah Ibnu Al Husaib, suatu hari Rasulullah SAW berkhutbah kepada sahabat Nabi, tiba-tiba cucunda Baginda bernama Hassan dan Husain datang berlari-lari anak, sedang memakai baju panjang warna merah, jatuh bangun jatuh bangun, maka Nabi pun berhentikan khutbah lalu turun dari mimbar mendukung kedua-duanya lalu dinaikkan mereka berdua atas mimbar, kemudian Baginda bersabda benarlah firman Allah yang bermaksud, sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jugalah pahala yang besar. Aku melihat dua orang cucunda aku ini dan aku tidak sabar kalau tidak mendukungnya. Kemudian Baginda menyambung semula khutbah.

Sifat Baginda ini tidak khusus kepada ahli keluarga saja, bahkan boleh dikatakan kepada semua kanak-kanak di Madinah. Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang menjadi imam dan aku ingin sekali memanjangkan sembahyang, tiba-tiba dalam sembahyang aku mendengar kanak-kanak menangis, lalu aku pun memendekkan sembahyang kerana aku takut ibunya merasa susah.”

Nabi Muhammad SAW juga sentiasa bergurau dengan kanak-kanak. Daripada Jabir Ibnu Samurah: “Suatu hari aku bersembahyang bersama Rasulullah, selepas selesai Baginda keluar melawat ahli keluarga Baginda, aku pun ikut sama. Tiba-tiba datang sekumpulan kanak-kanak mengerumuni baginda, lalu Nabi Muhammad SAW menggosok pipi kanak-kanak itu seorang demi seorang, adapun aku, maka Nabi juga menyapu pipi aku, maka aku dapati tangan Nabi sejuk lembut dan ada bau wangi semacam baru keluar dari botol minyak wangi.”

Jika seseorang tidak mencium kanak-kanak atau tidak merahmati mereka, Nabi menganggap sebagai tanda keras hati yang mesti diperbaiki. Daripada Aisyah, “Datang seorang Arab Badwi berjumpa Nabi Muhammad SAW, maka lelaki itu bertanya kepada Nabi Muhammad, adakah engkau mencium kanak-kanak? Maka Nabi Muhammad menjawab: Adakah aku mampu menyekat dan menghalang daripada ketentuan Allah yang akan mencabut rahmat daripada hatimu? Nabi Muhammad SAW bersabda lagi: Tidak akan dicabut rahmat melainkan daripada orang yang ada tanda kecelakaan.”

Khalifah Umar Ibnu Al Khattab ada mengkhabarkan, sesiapa yang tidak merahmati kanak-kanak, tidak layak memegang jawatan mengurus hal ehwal masyarakat dan masalah, kerana mereka yang tidak merahmati kanak-kanak akan memutuskan hukuman berdasarkan keras hati dan kepala batu mereka.

Daripada Abu Uthman An Nahdi ada berkata: “Umar ada memberi jawatan kepada seorang lelaki dari Bani Asad mengurus hal ehwal masyarakat, maka lelaki itu pun datang berjumpa Umar hendak mengambil surat pelantikannya, tiba-tiba datanglah beberapa orang anak Umar lalu Umar pun mencium pipi mereka, lelaki itu bertanya kepada Umar, adakah engkau mencium anak-anak kamu? Maka Umar menjawab: Ya, saya menciumnya, kenapa? Umar menyambung lagi, maka engkau kalau begitu sangat kurang merahmati orang ramai, kanak-kanak pun engkau tidak merahmatinya, kembalikan semula surat pelantikan kamu itu, aku tidak akan memberikan kamu apa-apa jawatan pun selepas ini selama-lamanya.”

Perasaan rahmat dan lemah lembut dalam memberikan tarbiah kepada anak amat diperlukan. Cara mentarbiah anak dengan cara ini lebih selamat, lebih teguh pendirian, lebih berjaya dan lebih memberikan kesan kepada anak kecil daripada mentarbiah dengan cara kasar dan keras.

Hati mereka sudah difitrahkan untuk merasa mesra dan manja sementara cara keras dan kasar adalah cara orang lain yang dijajah masuk ke dalam agama kita. Tarbiah dan pendidikan cara kasar adalah cara asing yang tidak dipersetujui oleh Allah, Nabi Muhammad dan agama Islam yang suci.

0 ulasan:

 
jQAF SK DATO NANING © 2008