Ahad, 28 Februari 2010

Mengumpat Merupakan Sifat Mazmumah

Sahabat yabg dirahmati Allah,
Lidah merupakan di antara nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada manusia. Kerana dengan adanya lidah, dapatlah manusia berhubung di antara satu sama lain. Dan kalau kita perhatikan benar-benar, lidah banyak sekali mendatangkan manfaat kepada manusia. Ia atau tidak, dapat kita mengkaji sendiri.

Di samping berbagai-bagai kebaikan yang diperolehi daripada lidah, banyak juga perkara-perkara yang buruk timbul daripadanya. Ini adalah kerana apabila lidah tidak dipelihara dengan bersungguh-sungguh, maka berbagai-bagai kejahatan akan timbul daripadanya.
Sahabat yang dimulaikan,
Abu Said al-Khudri r.a menceritakan, "Bahawasanya manusia itu apabila berpagi-pagi maka bersegeralah segala anggota kepada lidah. Dan mereka semuanya berkata : 'Kami menuntut kepada engkau dengan nama Allah bahawa engkau benar atas petunjuk, kerana bahawasanya jika engkau lurus, kami akan lurus dan jika engkau bengkok nescaya kami akan bengkok.'."

Salah satu di antara kebinasaan lidah yang jarang disedari ialah sikap suka mengumpat. Mengapakah dosa atau kesilapan ini jarang disedari? Ini adalah kerana perbuatan itu dilakukan pada setiap hari malah setiap waktu di mana-mana sahaja. Sedangkan, sebagaimana yang kita ketahui mengumpat adalah termasuk perbuatan dosa serta dilarang oleh Allah s.w.t. dan juga Rasulullah s.a.w.
Sebenarnya sikap suka mengumpat timbul daripada perasaan hasad dengki seseorang terhadap orang lain. Ini mungkin disebabkan orang lain itu mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada padanya. Atupun sikap ini timbul kerana merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Mungkin juga sikap ini timbul kerana ia melihat berbagai kekurangan terdapat pada orang lain. Samaada kekurangan itu di segi harta, ilmu, pengaruh dan sebagainya.

Sahabat yang dihormati,
Mengumpat atau menyebut kejelekan orang lain atau ghaibah adalah dilarang oleh Allah s.w.t. Begitu juga mengumpat adalah termasuk di antara bencana-bencana lidah yang sangat bahaya selain dari perbuatan dusta. 

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati, tentu sekali kamu benci memakannya. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-Hujarat ayat 12)

Imam Ghazali mengatakan bahawa mengumpat atau ghaibah adalah menyebut sesuatu yang tidak baik terhadap saudara sesama Muslim, yang jika ia dengar ia merasa marah. Samaada ia menyebut tentang kekurangan di dalam agamanya atau kecacatan tubuhnya, anak isterinya, gerak gerinya dan pakaiannya dari segala sesuatu yang berkaitan dengan dirinya samaada disebut dengan lidah, dengan tulisan atau menunjuk dengan jari.
Mengumpat adalah dosa yang amat berat di sisi Allah s.w.t.. Orang yang melakukan perbuatan itu diumpamakan oleh Allah s.w.t. sebagai memakan daging saudaranya yang telah mati. Ini jelas menunjukkan betapa hina dan buruknya perbuatan tersebut. Dan ia dianggap hina kerana menyinggung kehormatan orang lain yang sewajarnya dipelihara.
Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah s.w.t. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."
(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

Jelaslah pada hadis yang tersebut di atas bahawa Allah s.w.t. tidak mengampunkan dosa manusia yang berkaitan dengan diri manusia yang lain. Dia (tukang umpat) sendirilah yang terpaksa menyelesaikan atau meminta dihalalkan dosa mengumpat yang telah dilakukannya terhadap orang yang diumpat. Kalau sekiranya orang yang diumpat itu tidak dapat memaafkan kesalahannya itu, maka hal ini akan dibawa sehingga ke negeri akhirat.

Dari hadis yang lain Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah s.a.w. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah s.a.w ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah s.a.w " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Sahabat,
Bila kita memperkatakan sesuatu yang benar ada pada diri seseorang juga dilarang. Kerana perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang yang diumpat jika didengarinya. Dan sudah menjadi fitrah manusia ia akan mudah tersinggung jika sesuatu keburukan atau kekurangannya disebut oleh orang lain.

Dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Empat perkara yang dapt membatalkan wudhu dan boleh menghapuskan amal iaitu ghaibah, dusta, mengadu domba dan memperhatikan kecantikan yang haram dilihat. Dan semua itu dapat  menyuburkan bibit-bibit kejahatan sebagaimana air  menyuburkan tanaman, dan minum arak itu mengatasi semua dosa-dosa."

Jika seseorang mengumpat orang yang berbuat fasik secara terang-terangan atau ahli bid'ah, maka hal itu mendapat pahala sebab orang lain yang mendengarnya akan menjauhkan diri daripadanya. Ini bertepatan sekali dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Sebutan kejahatan orang yang melacur supaya orang lain berhati-hati daripadanya."

Dalam realiti kehidupan kita masa kini, budaya mengumpat sudah menjadi amalan kebiasaan, seseorang yang mengumpat ke atas saudaranya sudah tidak merasai satu kesalahan. Malahan keadaan yang lebih teruk daripada ini juga berlaku iaitu suasana fitnah memfitnah. Media masa dan internet telah menjadi alat untuk seseorang menabur fitnah dan mendedahkan keaifan orang lain tanpa merasa takut atas kemurkaan Allah s.w.t. Seolah-olah mereka yang membuat perbuatan dosa ini bahawa mereka tidak akan mati dan di hisab oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti. Kadangkala kita yang mendengar dan membaca berita mengumpat dan fitnah ini turut terlibat sama kerana mempercayainya dan menyampaikan pula kepada orang lain.

Apabila seseorang itu telah terlanjur melakukan perbuatan mengumpat saudaranya sesama Muslim, maka ia hendaklah segera bertaubat dan meminta maaf kepada saudaranya sebelum ia mati atau sebelum orang yang diumpat itu mati.

Akhirkata, marilah sama-sama kita perbaiki akhlak kita, meningkatkan iman dan takwa dan meninggalkan segala sifat mazmumah termasuk mengumpat. Kita bina dan menyambungkan silaturahim dan ukhuwah Islamiyah sesama Muslim dalam rangka kita mencari keredhaan Allah s.w.t. Aqidah dan iman yang kuat sahajalah yang dapat menghapuskan sifat buruk ini dari jiwa kita. Untuk mendapatkan aqidah dan iman yang kuat, kita hendaklah sentiasa mengikuti pengajian-pengajian agama dan majlis-majlis ilmu serta bercampur dengan masyarakat yang berpegang dengan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w dan bersahabat dengan orang-orang soleh.

Jumaat, 19 Februari 2010

Wasiat Imam Syafi'e

32 perkara ini adalah antara pesanan dan juga kata-kata yang boleh menjadi panduan dan pedoman kepada kita melalui petikan beberapa pesanan dan peringatan daripada imam muktabar iaitu imam As-Syafi'e rahimahullah:-

1. Ilmu adalah sesuatu yang bermanfaat dan bukannya ilmu apa yang hanya dihafaz semata-mata.

2. Kebaikan itu ada pada lima perkara iaitu mampu mengawal diri, menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain, menggunakan rezeki yang halal, berserah diri kepada Allah dan menyakini segala kekuasan Allah.

3. Imam Syafi'e telah ditanya tentang tabiatnya yang suka menggunakan tongkat sedangkan beliau bukanlah telah uzur, maka beliau menjawab : Ini bertujuan agar aku sentiasa mengingati bahawa hidup di dunia hanya sebagai musafir yang pasti akan kembali kepada Allah.

4. Lima perkara yang mesti ada pada pemimpin iaitu benar dalam percakapan, menjaga rahsia, menunaikan segala janji, sentiasa memberi nasihat dan menunaikan kewajipan yang diamanahkan.

5. Keredhaan manusia sukar untuk engkau capai dan bukanlah bermakna selamat daripada lidah manusia sudah boleh dianggap sudah mencapai jalan kepada mendapat keredhaan mereka. Oleh itu engkau hendaklah melakukan perkara yang bermanfaat kepadamu dan sentiasalah berbuat demekian.

6. Sesiapa yang merasa marah tetapi dia tidak meluahkannya maka dia seumpama keldai dan sesiapa yang merasa redha terhadap sesuatu tetapi dia tidak dapat menerimanya maka dia seperti syaitan yang mana redha dengan ketuhanan Allah tetapi tidak mahu tunduk pada perintahNya.

7. Capailah tujuan sesuatu percakapan itu dengan diam dan capailah sesuatu keputusan itu dengan berfikir.

8. Orang yang menzalimi diri sendiri ialah mereka yang tunduk dan patuh pada mereka yang tidak menghormatinya, mengharapkan kemanisan pada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya dan menerima pujian daripada mereka yang tidak dikenalinya.

9. Sesiapa yang mahu dipandang baik dan mulia maka dia hendaklah berbaik sangka terhadap orang lain.

10. Sesiapa yang memberi peringatan dan nasihat kepada rakannya dalam keadaan sembunyi maka sesungguhnya dia telah menasihati dan memperelokkannya. Sesiapa yang menasihati secara terang maka dia telah menyakiti dan mengkhianatinya.

11. Tidak akan tercapai ilmu melainkan bersabar di atas segala kesusahan di dalam mencapainya.

12. Apabila telah tetap perkara asal di dalam hati maka lidah akan berkata mengenai cabangnya ( hasil )

13. Sesiapa yang mahu kebahagian di akhirat maka dia hendaklah ihklas dengan ilmu.

14. Sekiranya manusia berfikir mengenai kandungan surah al-Asr maka sudah mencukupi.

15. Orang berilmu bertanya mengenai perkara yang dia sudah tahu dan perkara yang belum diketahuinya. Maka dengan cara ini dia dapat memperkemaskan ilmu yang telah ada dan dapat menimba ilmu yang belum diketahui.Orang jahil pula sentiasa menyisih diri daripada menerima pelajaran dan berhenti daripada belajar.

16. Perdalamkanlah ilmumu sebelum memimpin kerana apabila sudah menjadi pemimpin engkau tidak mempunyai jalan lagi untuk mendalami ilmu.

17. Perdalamkanlah segala masalah ilmu agar ia tidak akan menyempitkan masamu.

18. Keelokan oarng yang berilmu ialah mulia diri dan kecantikan ilmu pula ialah warak dan berlemah lembut.

19.Sesiapa yang mendakwa bahawa dia mencintai dunia dan dalam masa yang sama dia mencintai Penciptanya maka sebenarnya dia telah berbohong.

20. Sekalipun seseorang itu bersungguh-sungguh untuk mencapai keredhaan manusia maka tidak akan menemui jalan ke arah itu. Oleh itu dia hendaklah mengikhlaskan amalannya antara dia dan Allah. Tidak mengetahui seseorang tentang riya’ melainkan orang yang benar-benar ikhlas.

21. Sesorang itu tidak mampu untuk menghukum tentang sesuatu samaada halal atau haram melainkan dengan ilmu yang dimiliki

22. Sesiapa yang tidak dimuliakan oleh taqwa maka tiada kemuliaan baginya

23. Terlalu mengharapkan kelebihan dunia merupakan azab Allah kepada ahli tauhid ( beragama )

24. Sesiapa yang membenarkan sahabatnya maka diterima amalan, ditutup keburukan dan diampun kesalahannya

25. Sesiapa yang engkau redha akan menyebut-nyebut (puji) pada sesuatu yang tiada pada dirimu begitulah juga mereka yang engkau marah akan menyebut-nyebut (keji) pada sesuatu yang tiada pada dirimu

26. Politik pergaulan manusia berlainan dengan politik pergaulan binatang

27. Orang berakal ialah mereka yang mana akalnya mampu mengawasi dirinya daripada segala kejahatan

28. Sekiranya manusia mengetahui keburukan percakapan dan hawa nafsu maka mereka akan melarikan diri daripada keduanya sebagaimana mereka melarikan diri dari harimau

29. Bagi akal itu ada penghujungnya, begitulah juga dengan sabar yang mana ada penghujungnya

30. Sesiapa yang menyimpan rahsianya maka kebaikan berada di tangannya

31. Sekiranya ulama’ yang beramal dengan ilmu mereka tidak boleh dianggap waliullah maka aku tidak tahu lagi adakah bagi Allah itu wali

32. Jika aku tahu dengan meminum ais sejuk akan mengurangkan maruahku nescaya aku tidak akan minum melainkan air panas

 
jQAF SK DATO NANING © 2008