Ahad, 28 Februari 2010

Mengumpat Merupakan Sifat Mazmumah

Sahabat yabg dirahmati Allah,
Lidah merupakan di antara nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada manusia. Kerana dengan adanya lidah, dapatlah manusia berhubung di antara satu sama lain. Dan kalau kita perhatikan benar-benar, lidah banyak sekali mendatangkan manfaat kepada manusia. Ia atau tidak, dapat kita mengkaji sendiri.

Di samping berbagai-bagai kebaikan yang diperolehi daripada lidah, banyak juga perkara-perkara yang buruk timbul daripadanya. Ini adalah kerana apabila lidah tidak dipelihara dengan bersungguh-sungguh, maka berbagai-bagai kejahatan akan timbul daripadanya.
Sahabat yang dimulaikan,
Abu Said al-Khudri r.a menceritakan, "Bahawasanya manusia itu apabila berpagi-pagi maka bersegeralah segala anggota kepada lidah. Dan mereka semuanya berkata : 'Kami menuntut kepada engkau dengan nama Allah bahawa engkau benar atas petunjuk, kerana bahawasanya jika engkau lurus, kami akan lurus dan jika engkau bengkok nescaya kami akan bengkok.'."

Salah satu di antara kebinasaan lidah yang jarang disedari ialah sikap suka mengumpat. Mengapakah dosa atau kesilapan ini jarang disedari? Ini adalah kerana perbuatan itu dilakukan pada setiap hari malah setiap waktu di mana-mana sahaja. Sedangkan, sebagaimana yang kita ketahui mengumpat adalah termasuk perbuatan dosa serta dilarang oleh Allah s.w.t. dan juga Rasulullah s.a.w.
Sebenarnya sikap suka mengumpat timbul daripada perasaan hasad dengki seseorang terhadap orang lain. Ini mungkin disebabkan orang lain itu mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada padanya. Atupun sikap ini timbul kerana merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Mungkin juga sikap ini timbul kerana ia melihat berbagai kekurangan terdapat pada orang lain. Samaada kekurangan itu di segi harta, ilmu, pengaruh dan sebagainya.

Sahabat yang dihormati,
Mengumpat atau menyebut kejelekan orang lain atau ghaibah adalah dilarang oleh Allah s.w.t. Begitu juga mengumpat adalah termasuk di antara bencana-bencana lidah yang sangat bahaya selain dari perbuatan dusta. 

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati, tentu sekali kamu benci memakannya. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-Hujarat ayat 12)

Imam Ghazali mengatakan bahawa mengumpat atau ghaibah adalah menyebut sesuatu yang tidak baik terhadap saudara sesama Muslim, yang jika ia dengar ia merasa marah. Samaada ia menyebut tentang kekurangan di dalam agamanya atau kecacatan tubuhnya, anak isterinya, gerak gerinya dan pakaiannya dari segala sesuatu yang berkaitan dengan dirinya samaada disebut dengan lidah, dengan tulisan atau menunjuk dengan jari.
Mengumpat adalah dosa yang amat berat di sisi Allah s.w.t.. Orang yang melakukan perbuatan itu diumpamakan oleh Allah s.w.t. sebagai memakan daging saudaranya yang telah mati. Ini jelas menunjukkan betapa hina dan buruknya perbuatan tersebut. Dan ia dianggap hina kerana menyinggung kehormatan orang lain yang sewajarnya dipelihara.
Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah s.w.t. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."
(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

Jelaslah pada hadis yang tersebut di atas bahawa Allah s.w.t. tidak mengampunkan dosa manusia yang berkaitan dengan diri manusia yang lain. Dia (tukang umpat) sendirilah yang terpaksa menyelesaikan atau meminta dihalalkan dosa mengumpat yang telah dilakukannya terhadap orang yang diumpat. Kalau sekiranya orang yang diumpat itu tidak dapat memaafkan kesalahannya itu, maka hal ini akan dibawa sehingga ke negeri akhirat.

Dari hadis yang lain Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah s.a.w. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah s.a.w ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah s.a.w " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Sahabat,
Bila kita memperkatakan sesuatu yang benar ada pada diri seseorang juga dilarang. Kerana perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang yang diumpat jika didengarinya. Dan sudah menjadi fitrah manusia ia akan mudah tersinggung jika sesuatu keburukan atau kekurangannya disebut oleh orang lain.

Dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Empat perkara yang dapt membatalkan wudhu dan boleh menghapuskan amal iaitu ghaibah, dusta, mengadu domba dan memperhatikan kecantikan yang haram dilihat. Dan semua itu dapat  menyuburkan bibit-bibit kejahatan sebagaimana air  menyuburkan tanaman, dan minum arak itu mengatasi semua dosa-dosa."

Jika seseorang mengumpat orang yang berbuat fasik secara terang-terangan atau ahli bid'ah, maka hal itu mendapat pahala sebab orang lain yang mendengarnya akan menjauhkan diri daripadanya. Ini bertepatan sekali dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Sebutan kejahatan orang yang melacur supaya orang lain berhati-hati daripadanya."

Dalam realiti kehidupan kita masa kini, budaya mengumpat sudah menjadi amalan kebiasaan, seseorang yang mengumpat ke atas saudaranya sudah tidak merasai satu kesalahan. Malahan keadaan yang lebih teruk daripada ini juga berlaku iaitu suasana fitnah memfitnah. Media masa dan internet telah menjadi alat untuk seseorang menabur fitnah dan mendedahkan keaifan orang lain tanpa merasa takut atas kemurkaan Allah s.w.t. Seolah-olah mereka yang membuat perbuatan dosa ini bahawa mereka tidak akan mati dan di hisab oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti. Kadangkala kita yang mendengar dan membaca berita mengumpat dan fitnah ini turut terlibat sama kerana mempercayainya dan menyampaikan pula kepada orang lain.

Apabila seseorang itu telah terlanjur melakukan perbuatan mengumpat saudaranya sesama Muslim, maka ia hendaklah segera bertaubat dan meminta maaf kepada saudaranya sebelum ia mati atau sebelum orang yang diumpat itu mati.

Akhirkata, marilah sama-sama kita perbaiki akhlak kita, meningkatkan iman dan takwa dan meninggalkan segala sifat mazmumah termasuk mengumpat. Kita bina dan menyambungkan silaturahim dan ukhuwah Islamiyah sesama Muslim dalam rangka kita mencari keredhaan Allah s.w.t. Aqidah dan iman yang kuat sahajalah yang dapat menghapuskan sifat buruk ini dari jiwa kita. Untuk mendapatkan aqidah dan iman yang kuat, kita hendaklah sentiasa mengikuti pengajian-pengajian agama dan majlis-majlis ilmu serta bercampur dengan masyarakat yang berpegang dengan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w dan bersahabat dengan orang-orang soleh.

0 ulasan:

 
jQAF SK DATO NANING © 2008